Wednesday, February 21, 2007

PEMIMPIN MILIK RAKYAT





LUMUT, 24 Disember 2006 – Meskipun kehadiran Tan Sri Rahim Tamby Chik selaku Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) petang itu ke Lumut bagi majlis perasmian Kursus Penanaman Cendawan anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Melayu Malaysia di Setiawan, namun kehadiran beliau sudah di kesan terlebih awal oleh Ketua UMNO Bahagian Lumut Dato’ Dr Zambre Abdul Kadir yang terus menyesuaikan satu program bagi menjemput Tan Sri Rahim.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dan UMNO Cawangan Kampong Sungai Wangi kelihatan meriah petang itu dengan kehadiran Tan Sri Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Bertempat di Dataran Kampong Sungai Wangi, kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampong dan peserta pertandingan. Kemesraan sebuah keluarga UMNO amat terasa hinggakan sukar untuk kita merasa terasing meskipun berada di tempat orang.

Dato’ Dr. Zambre yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak awal-awal lagi menunggu kami di persimpangan jalan masuk ke Dataran Kampong Sungai Wangi dan seterusnya dirai dengan jamuan petang yang enak.

Ketika diminta berucap di majlis serba ringkas tetapi penuh bermakna itu, Tan Sri Rahim tidak dapat menyembunyikan nostalgianya ketika menjadi Ketua Menteri Melaka dahulu bila melihat keakraban orang kampong Sungai Wanig menyambut dan merai beliau serta program yang dianjurkan.

Katanya, Umno sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Melayu. Ini dapat dilihat daripada suasana kehidupan masyarakat Melayu.

“Kalau nak buat kenduri kahwin, jawatankuasa Umno cawangan akan dibawa berbincang. Kalau ada kematian begitu juga malah hinggakan kepada majlis berkhatan pun umno cawangan akan dilibat.”

“Umno di peringkat cawangan adalah akar umbi kekuatan orang-orang Melayu. Oleh itu jangan sisihkan Umno dalam segala urusan terutama bila melibatkan komuniti masyarakat di kampong”.

“Di peringkat kampong, kita tak ada Ngo’s atau persatuan lain melainkan Umno dan disetengah-tengah tempat persatuan beliau. Namun persatuan belia itu sendiri dipimpin oleh orang yang ada pertalian dengan Umno.” tegasnya

Katanya, beliau merasa bangga bila melihat keakraban dan perpaduan yang ditunjuk oleh umno peringkat cawangan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Jelasnya lagi, beliau bersedia untuk hadir lagi jika dijemput dalam mana-mana program Umno meskipun di peringkat cawangan.

Sementara itu dalam ucapannya Dato’ Dr. Zambri membayangkan beginilah cara hidup mereka menjaga dan memimpin Umno diperingkat bahagian dan cawangan, apatah lagi Umno di kawasan luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor berkata, beliau bersetuju dengan Tan Sri Rahim bahawa budaya hidup orang Melayu sudah sebati dengan Umno. Ini dapat ukur melalui perpaduan dan keakraban dalam masyarakat Melayu.

“Apa sahaja aktiviti masyarakat Melayu sudah menjadi aktiviti Umno, begitu juga sebaliknya. Inilah kekuatan dan perpaduan dalam keluarga Umno” jelasnya